Tuesday, January 19, 2010

Objektif / Piagam Sekolah

OBJEKTIF


* Mewujudkan sebuah sekolah yang berkesan dan berkualiti.

* Semua murid dapat menguasai 3M apabila tamat Tahun 3 dan prestasi

cemerlang dalam peperiksaan UPSR dari segi kualiti serta kuantiti.

*Semua murid Tahap II terlibat dalam kegiatan kokurikulum dan mengembangkan bakat mereka yang berpotensi dalam bidang masing-masing.

* Membimbing individu atau pasukan tertentu untuk menjadi juara diperingkat daerah atau negeri.

* Menjadikan semua murid berdisiplin, berakhlak mulia dan beramal soleh serta sedar diri terhadap tugas dan tanggungjawab masing-masing.

* Mengadakan kemudahan asas yang mencukupi dan selesa untuk digunakan.

* Mewujudkan persekitaran sekolah yang sentiasa bersih, ceria dan selamat.

* Mewujudkan hubungan yang strategik.



PIAGAM PELANGGAN


Kami akan sedaya upaya berusaha memberikan perkhidmatan dan pendidikan kepada semua pelanggan kami sebagaimana berikut:

* Berusaha menyelesaikan masalah anda secepat mungkin.

* Berusaha memberi maklumat yang diperlukan dengan cepat dan tepat.

* Berusaha memberi peluang belajar kepada semua murid dengan adil dan saksama mengikut kemampuan yang ada.

* Berusaha memastikan semua murid dapat menguasai kemahiran asas 3M.

* Berusaha meningkatkan pencapaian murid dalam UPSR.

* Berikhrar meningkatkan tahap disiplin, kebersihan dan keselamatan

murid.

* Bermuafakat daengan ibubapa, guru-guru, kakitangan dan murid-murid untuk mencapai matlamat sekolah.

* Berusaha memberi kemahiran asas kepada murid-murid dalam pelbagai kegiatan kokurikulum.

* Berikhrar dan berdoa supaya murid-murid yang keluar dari sekolah ini

mempunyai ilmu, berakhlak mulia, beriman dan beramal solehah

Logo / Lagu Sekolah

Sekolah

SK.Pasir Panjang : Nama Sekolah.
1939 : Tahun sekolah ditubuhkan.
Belajar dan Berbakti : Pagangan motto sekolah.
Buku dan Obor : Sekolah adalah tempat murid-murid menerima pelajaran dan pembelajaran dan akan berbakti kepada masyarakat.
Biru : Perpaduan diantara guru,murid dan masyarakat serta menunjukkan hubungan yang baik dalam pentadbiran sekolah.
Kuning : Ketatasusilaan guru-guru dan murid-murid serta mentaati peraturan-peraturan sekolah.
Merah : Kekuatan dan kesungguhan guru dan murid mengikuti kurikulum dan gerakkerja ko-kurikulum.


LAGU

Megahnya berdiri sekolah kami
Sekolah Pasir Panjang
Tetap bersama membantu membina
Mencapai cita-cita.

Berikrar berjanji
Membantu membina
Berbakti dan berjasa
Kepada guru kepada semua
Wahai bangsa negara.

Megahnya berdiri sekolah kami
Sekolah Pasir Panjang
Tetap bersama membantu membina
Mencapai cita-cita.

Buletin SKPP

KURSUS TATACARA PENGURUSAN ASET ALIH KERAJAAN

Rabu, 30 Dis. 2009 - SKPP telah mengadakan satu kursus Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan bertempat di Makmal Komputer SKPP. Kursus tersebut telah disampai oleh En.Adli bin Jusoh, Bahagian Audit Dalam, Kementerian Pelajaran Malaysia.

MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR 2009

Selasa, 17 Nov. 2009 - SKPP telah mengadakan Anugerah Kecemerlangan Pelajar bagi tahun 2009 bertempat di Dewan SKPP. Perasmian oleh En.Mohammad Noor b. Abu Bakar (Unit Pengajian Swasta)Pejabat Pelajaran Daerah K.Terengganu.






PERKHEMAHAN BADAN UNIFORM

Bermula 8 – 10hb Okt. 2009: SKPP telah mengadakan satu perkhemahan badan uniform bertempat di Padang SKPP. Perkhemahan selama tiga hari itu melibatkan pelajar-pelajar Tahun 6 dari unit Pengakap, Bulan Sabit Merah, KRM, Pandu Puteri dan Puteri Islam





Sejarah Sekolah





Bangunan asal sekolah
Bangunan tambahan sekolah

Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang Kuala Terengganu telah dibuka pada tahun 1939.Wujudnya sekolah ini adalah atas usaha gigih orang-orang kampung bersama-sama penghulunya Tuan Haji Ahmad bin Hitam yang telah memohon dan mendesak pihak kerajaan mengadakan sebuah sekolah tempat kanak-kanak di sekitar kawasan Pasir Panjang ini belajar.

Sekolah ini terletak dalam kawasan seluas 4.406 ekar.Pada mulanya sebuah bangsal didirikan dan disumbang oleh seorang pemborong tempatan iaitu En.Wan Salleh bin Ahmad.

Bangunan pejabat sekolah
Laman utama sekolah


Bangunan tempat belajar bertambah dari masa ke semasa mengikut perkembangan murid.
Pada akhir tahun 1968 sekolah mempunyai 4 buah bangunan separuh kekal sebagai tempat belajar berukuran sebagaimana berikut:

i. 120 kaki x 22 kaki
ii. 60 kaki x 22 kaki
iii. 47 kaki x 20 kaki
iv. 48 kaki x 20 kaki

Pada tahun 1969, bangunan iii dan iv telah dirobohkan dan diganti dengan bangunan lain yang juga bangunan separuh kekal berukuran 300 x 24 kaki.Bangunan ini mempunyai 9 buah bilik darjah dan sebuah bilik guru.

Pada tahun 1980, sebuah bangunan kekal 2 tingkat berukuran 190 x 24 kaki dibangunkan.Bangunan ini mempunyai 6 buah bilik darjah, perpustakaan sekolah, bilik pusat sumber sekolah,ruang pejabat dan bilik Guru Besar.

Pada tahun 1990, sebuah lagi bangunan separuh kekal dibina bagi menampung pertambahan murid yang mendadak dengan bangunan berukuran 22 x 146 kaki dan mempunyai 4 buah bilik darjah.

Semenjak ditubuhkan pada tahun 1939, hanya murid lelaki sahaja yang belajar si sekolah ini dengan keramaiannya 20 orang.Keramaiannya meningkat dari masa ke semasa, dengan peningkatan kepada 40 orang selepas beberapa bulan dibuka.Pada tahun 1946, barulah sekolah ini mula menerima murid perempuan,menjadikannya sebagai sebuah sekolah bercampur.Pada tahun 1954, pentadbiran sekolah ini telah dipecahkan kepada 2 bahagian iaitu Sek.Keb.Pasir Panjang (Lelaki) dimana Guru Besarnya ialah En.Muhammad bin Hassan dan Sek.Keb.Pasir Panjang (Perempuan) pula Guru Besarnya ialah Cik Emi Shamsiah binti Abd.Hamid.Tetapi selepas berjalan selama 7 tahun kedua-dua sekolah ini telah disatukan semula di bawah pentadbiran seorang Guru Besar.Penyatuan ini adalah atas nasihat Lembaga Jemaah Pengurus Sekolah dalam mesyuaratnya pada 15.02.1961.

Semenjak dibuka juga, ramai bekas murid sekolah ini telah berjaya mencipta nama dalam pelbagai bidang, sama ada dalam sektor awam ataupun swasta.

Monday, January 18, 2010

pulau perhentian



PULAU PERHENTIAN

PANTAINYA PUTIH LAUTNYA BIRU

Suatu waktu dahulu ia hanya dikenali sebagai tempat persinggahan dan perlindungan bagi nelayan ketika rebut, tetapi hari ini ia muncul sebagai salah sebuah pulau pelancongan yang tercantik di negara ini. Itulah Pulau Perhentian-pulau damai yang masih terpelihara keindahan semulajadinya.

Pulau ini terletak kira-kira 20km dari pantai Besut, Terengganu. Perjalanan dari Kuala Besut ke pulau ini mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit. Pulau ini terbahagi kepada dua-Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar atau lebih dikenali sebagai Pulau Perhentian sahaja. Kedua-dua pulau ini dipisahkan oleh selat kecil selebar setengah kilometer. Pulau Perhentian Kecil merupakan perkampungan nelayan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan asasnya.

Deretan pohon kelapa, pantai berpasir putih dan laut biru yang tenang, dapat menambat hati setiap pengunjung dan pencinta alam yang datang ke sini. Pulau Perhentian diindahkan dengan pantainya yang berteluk cetek dan berbatu cantik, sesuai untuk mandi-manda. Di sepanjang pantai dapat melihat pelbagai jenis dan bentuk batu karang serta moluska laut seperti siput, tiram dan tumbuhan laut yang jarang ditemui di pantai-pantai biasa. Bagaimanapun, pengunjung-pengunjung dilarang keras memungut sebarang jenis hidupan laut ini, kerana pulau ini dilindungi di bawah Jabatan Perikanan dan Kementerian Alam Sekitar.

Bagi anda yang minat memancing boleh memancing di sepanjang pantai dan teluk di pulau ini. Jika anda bercadang mengelilingi pulau sambil memancing, bot boleh disewa dengan kadar RM20-RM50 bagi satu kumpulan berjumlah antara 5 hingga 20 orang.

Kalaulah ditakdirkan bekalan makanan anda bawa habis, usahlah bimbang. Di sini terdapat beberapa buah restoran mini. Makanan lautnya pelbagai, segar dan harganya sederhana.

Anda juga mungkin berpeluang menikmati pengalaman ke laut bersama-sama dengan nelayan yang singgah di situ. Jika bernasib baik dan tepat pada musimnya, anda berpeluang melihat penyu bertelur di pantai pulau ini.

Jika anda bercadang berkunjung atau bercuti ke pulau ini, bolehlah menghubungu Pejabat Daerah Besut untuk urusan bot dan pengangkutan dan tempahan chalet.

Chalet-chalet itu mempunyai bekalan air dan elektrik di samping peralatan dapur untuk kemudahan mereka yang bercadang bermalam. Kadar sewanya sederhana antara RM10 hingga RM20 satu hari. Anda juga boleh berkhemah (camping) di sepanjang pantai pulau ini.

OLEH ROZAMAN ISMAIL RAMONAS

SEJARAH PULAU PERHENTIAN

Pembukaan dan Penempatan Awal di Pulau Perhentian

Pulau Perhentian mula didiami pada penghujung abad ke 18. Tempat yang mula-mula dibuka dan didiami ialah Teluk Dalam, di sekitar sebatang alur air payau yang cetek yang dikenali sebagai Alur Cina. Orang yang paling awal mendudukinya ialah Batin Mina dan keluarganya. Beliaulah orang yang bertanggungjawab menjadikan Pulau Perhentian sebagai satu petempatan.

Asal Penduduk Pulau Perhentian

Orang yang pertama menduduki Pulau Perhentian dipercayai berasal dari Kepulauan Riau, iaitu jajahan takluk Johor-Riau pada masa itu. Batin Mina dan keluarganya datang ke Pulau Perhentian dengan menumpang kapal-kapal dagang China yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara. Beliau telah melarikan diri dari buruan Belanda kerana telah bertindak menentang penjajahan dengan cara merompak dan mengugut kapal-kapal dagang barat. Keturunan beliaulah yang terus mendiami Pulau Perhentian serta beberapa keluarga yang berasal dari Tanah Besar Semenanjung.

Bagaimana Pulau Perhentian Mendapat Nama

Pulau ini pada awalnya tidak mempunyai nama yang khusus. Ianya dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal dagang yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara seperti Singapura, Jawa dan beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu. Di pulau ini juga dijadikan tempat persinggahan kapal-kapal garam dari Singgora (Selatan Thai), untuk menghantar garam ke Kuala Terengganu. Oleh kerana pulau ini sering dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal yang dalam pelayaran, ianya telah dinamakan sebagai Pulau Perhentian. Iaitu pulau tempat kapal-kapal singgah atau berhenti seketika sebelum meneruskan pelayaran. Sehingga sekarang pulau ini masih lagi dijadikan tempat berlindung bagi kapal-kapal dari angin kencang dan ombak besar.

Pentadbiran Pulau Dan Hubungan Dengan Pemerintah Negeri

Pulau Perhentian pada masa dahulu ditadbir oleh seorang ketua yang dikenali dengan panggilan Batin. Beliaulah orang yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan keselamatan orang-orang di bawah kawalannya. Batin pada masa itu adalah merupakan seorang pendekar yang terbilang dan juga seorang bomoh yang handal serta mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi.

Batin Mina merupakan orang yang pertama menduduki dan mentadbir Pulau Perhentian. Pada zamannya teraju pentadbirannya terletak di Teluk Dalam iaitu Pulau Perhentian Besar. Pentadbirannya dibantu oleh seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Dayak. Batin dengan dibantu oleh panglimanya yang bertanggungjawab bagi memastikan keamanan dan kestabilan persekitaran pulau.

Selepas kematian Batin Mina, teraju pemerintahan pulau diambil alih pula oleh adiknya iaitu Batin Jamal. Tidak lama selepas kematian Batin Mina, mereka yang tinggal di perkampungan Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar sudah tidak tenteram lagi. Keadaan ini terjadi kerana adanya gangguan dari makhluk-makhluk halus, yang dikatakan sebelumnya dapat dikawal oleh Batin Mina. Keadaan menjadi bertambah buruk lagi apabila tanaman tidak menjadi kerana dirosakkan oleh lutong (sejenis monyet) dan tikus. Oleh kerana keadaan sudah tidak terkawal lagi, Batin Jamal pentadbir pulau pada masa itu mengambil keputusan untuk berpindah.

Batin Jamal dan semua penduduk Pulau Perhentian pada masa itu telah berpindah ke Negeri Sanyanya dan membuka penempatan di situ. Negeri Sanyanya ialah Kuala Besut sekarang ini. Di Negeri Sanyanya (Kuala Besut), Batin Jamal membuka perkampungan baru. Setelah tinggal beberapa lama di Negeri Sanyanya (Kuala Besut), Batin Jamal dan orang-orangnya teringin untuk kembali ke Pulau Perhentian. Setelah mengadakan perbincangan dengan semua orang-orangnya, Batin Jamal mengambil keputusan untuk kembali ke Pulau Perhentian. Sekembalinya dari Negeri Sanyanya (Kuala Besut), mereka tidak lagi tinggal di Teluk Dalam tetapi menduduki Pasir Hantu (penempatan sekarang) di Pulau Perhentian Kecil.

Selepas kematian Batin Jamal, pentadbiran Pulau Perhentian diambil alih pula oleh Batin Deris. Pentadbiran Batin Deris dibantu oleh seorang panglima yang dikenali sebagai Panglima Ebet. Batin Deris dan panglimanya bertanggungjawab terhadap soal-soal kebajikan dan keselamatan orang-orangnya. Selepas kematian Batin Deris, warisan kebatinan diambil alih pula oleh Batin Saman, selepas kematian Batin Saman ianya diambil alih pula oleh Batin Yahya. Kemudian, selepas Batin Yahya meninggal dunia ianya diteruskan pula oleh Batin Talib dengan dibantu oleh panglimanyayang bergelar Panglima Kecik atau dikenali juga dengan panggilan Tok Deramat. Pada zaman Batin Taliblah, penduduk Pulau Perhentian dapat disatukan di satu tempat iaitu penempatan sekarang ini. Batin Talib telah berjaya mengumpulkan semua penduduk Pulau Perhentian di satu kawasan penempatan di sekitar awal abad ke 20. Selepas Batin Talib meninggal dunia, pentadbiran Pulau Perhentian diteruskan lagi oleh Batin Sidek. Batin Sidek merupakan batin yang terakhir sekali dalam warisan kebatinan yang mentadbir Pulau Perhentian. Beliau meninggal dunia pada awal tahun 1990. Selepas kematiannya tidak ada lagi warisan kebatinan yang menjadi ketua penduduk Pulau Perhentian. Ianya telah diganti dengan seorang Ketua Kampung.

Batin Pulau Perhentian mempunyai hubungan istimewa dengan pemerintah negeri iaitu Baginda Al-Sultan Terengganu. Kisah perhubungan ini dikatakan bermula pada zaman Batin Mina lagi sehinggalah kepada batin-batin selepasnya. Hubungan dikatakan bermula apabila Batin Mina berkeupayaan mengubat penyakit yang dihidapi oleh baginda Sultan Terengganu.

Mengikut cerita, pada zaman pemerintahan ayahanda kepada Sultan Sulaiman telah terjalin hubungan antara Batin Mina dengan baginda Al-Sultan Terengganu yang memerintah. Sejarah hubungan istimewa dikatakan bermula apabila Almarhum Sultan yang memerintah ketika itu ingin menduga kepandaian dan kehandalan bomoh dalam negeri dan jajahan takluk baginda. Cara baginda menguji kepandaian bomoh ialah baginda pura-pura sakit.

Apabila baginda sakit seluruh negeri dikhabarkan berita itu. Semua bomoh-bomoh dan dukun-dukun yang handal dipanggil untuk mengubati baginda. Walaupun semua bomoh-bomoh dan dukun-dukun yang handal datang mengubati baginda namun penyakit baginda tidak juga sembuh. Semua bomoh dan dukun yang datang tidak tahu penyakit yang dihidapi oleh baginda.

Berita tentang Al-Sultan Terengganu yang sedang gering itu sampai ke pengetahuan Tengku Chik, Raja yang memerintah Besut pada masa itu. Tengku Chik menyembahkan kepada Al-Sultan Terengganu tentang adanya seorang bomoh yang handal di Pulau Perhentian. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan baginda, lalu baginda menitahkan supaya bomoh dipanggil untuk datang ke Kuala Terengganu dan mengubati baginda. Setelah dititahkan oleh Sultan Terengganu supaya datang mengadap, Batin Mina iaitu bomoh yang dimaksudkan oleh Tengku Chik mula bersiap-siap untuk memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu.

Batin Mina memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu dengan menggunakan sebuah perahu kecil yang diperbuat daripada batang kayu dan layarnya diperbuat daripada sebidang tikar. Pada masa itu ialah musim tengkujuh. Batin Mina belayar seorang diri mengharungi gelora musim tengkujuh untuk ke Kuala Terengganu semata-mata untuk mengubati Baginda Al-Sultan. Setelah sampai di Kuala Sungai Terengganu dan mendarat di jeti tidak jauh dari Istana Maziah, beliau disambut oleh seorang wakil Al-Sultan yang dikenali dengan nama Pak Bian. Kedatangan Batin Mina memang ditunggu-tunggu oleh pihak istana.

Mengikut cerita perahu kecil yang berlayarkan tikar yang dinaiki oleh Batin Mina mempunyai keanehan dan luar biasa pada pandangan orang ramai. Perahu kecil yang diperbuat daripada sebatang kayu dan menggunakan layar sebidang tikar itu dilihat oleh orang ramai yang menunggu ketibaannya bagaikan sebuah kapal yang besar dan dinaiki oleh berpuluh-puluh orang. Tetapi setelah ianya semakin hampir dengan pantai ianya dilihat semakin kecil dan akhirnya ianya adalah sebuah perahu layar yang kecil sahaja.

Batin Mina masuk ke dalam istana dan diberi santapan Diraja. Setelah berehat seketika, Batin Mina dititahkan mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk melihat penyakit yang dihidapi oleh Baginda. Setelah masuk mengadap, Batin Mina mempersembahkan kepada Duli Yang Mulia Sultan bahawa Baginda sebenarnya tidak sakit. Ia sudah mengetahui bahawa Baginda Al-Sultan sekadar ingin menguji kepandaian dan kehandalan bomoh yang ada di serata negeri. Setelah Al-Sultan mengetahui bahawa Batin Mina sudah mengetahui bahawa Baginda tidak sakit, Baginda pun terus bangkit dari tempat peraduan dan segera menghampiri Batin Mina. Baginda Al-Sultan mengakui kehandalan Batin Mina sebagai seorang bomoh.

Sejak peristiwa itulah, batin-batin yang tinggal di Pulau Perhentian mendapat layanan istimewa daripada Baginda Al-Sultan Terengganu. Mengikut cerita Baginda Al-Sultan berjanji akan memberi layanan istimewa kepada Batin Mina dan anak cucunya yang tinggal di Pulau Perhentian. Mulai dari peristiwa itu jugalah Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan yang seterusnya dikatakan tetap menghormati Batin-Batin Pulau Perhentian dan sering juga mengunjungi Pulau Perhentian.

Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin 11, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah juga sering mengunjungi Pulau Perhentian. Mengikut cerita setiap kunjungan Duli-Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan akan disambut dengan upacara penuh istiadat mengikut tradisi. Segala tradisi ini berterusan sehinggalah kepada Batin yang terakhir iaitu Batin Sidek. Kawasan perairan Pulau Perhentian dan sekitarnya diletakkan di bawah kawalan Batin-Batin sehinggalah sampai ke zaman pemerintahan Inggeris. Ianya bermula dari zaman Batin Mina lagi. Selepas kematian Batin Sidek, tidak ada lagi warisan kebatinan yang mengepalai penduduk Pulau Perhentian. Ianya telah diganti dengan seorang Ketua Kampung yang dilantik oleh masyarakat. Bermula pada tahun 1990, seorang Ketua Kampung mengetuai penduduk Pulau Perhentian.

Kegiatan Sosioekonomi Penduduk Pulau Perhentian Di Awal Penempatan

Diawal penempatan penduduk Pulau Perhentian bekerja sebagai petani dan nelayan saradiri. Penduduknya bercucuk tanam seperti padi dan ubi kayu untuk keperluan keluarga. Padi ditanam di satu kawasan rendah di kaki bukit kawasan penempatan di Teluk Dalam, Pulau Perhentian Besar. Selain daripada padi, ubi kayu juga ditanam untuk keperluan sementara menunggu padi mengeluarkan hasilnya.

Sebagai sumber protein, penduduk Pulau Perhentian pada masa itu menangkap ikan dengan menggunakan pancing di sekitar perairan Pulau Perhentian. Mereka pergi memancing dengan menaiki perahu-perahu kecil yang diperbuat daripada batang-batang kayu yang ditebuk. Segala hasil tangkapan hanya cukup untuk keperluan keluarga mereka.

Bekalan makanan seperti beras sebenarnya tidak mencukupi untuk menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah pada masa itu. Batin Mina ketua bagi penduduk Pulau Perhentian pada masa itu telah mengena syarat kepada kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh di perairan Pulau Perhentian. Setiap kapal yang berlabuh dan berlindung di Pulau Perhentian dikenakan cukai dalam bentuk makanan dan pakaian. Pada masa itu kapal-kapal dagang Cina yang berlabuh itu dikenali sebagai 'wakam' oleh penduduk kampung. Ianya adalah sejenis kapal layar yang besar yang lebih dikenali sebagai tongkang. Jika mereka enggan membayar cukai, tindakan akan diambil. Barang-barang mereka akan dirampas dan tidak dibenarkan berlabuh di sekitar perairan pulau. Jika sekiranya penguasa pulau pada masa itu iaitu Batin Mina dan pembantu-pembantunya gagal mendekati kapal-kapal itu, tindakan lain akan diambil. Mengikut cerita, pernah terjadi kapal-kapal dagang Cina itu dihalang pelayaran mereka dengan membina beting pasir di tengah laut bagi tujuan menyekat pelayaran kapal tersebut. Pembinaan beting pasir itu dikatakan dibina dengan menggunakan ilmu kebatinan oleh Batin Mina. Setelah pelayaran kapal itu tersekat, pedagang-pedagang itu terpaksa tunduk dan membayar cukai kepada Batin Mina.

Bagaimana Penempatan Sekarang Di Buka

Penempatan sekarang asalnya satu kawasan yang dipenuhi dengan lalang dan semak samun. Di persisiran pantainya adalah hamparan pasir yang memutih. Setelah Pulau Perhentian ditinggalkan sekian lama oleh Batin Jamal dan orang-orangnya dan kemudian kembali semula ke Pulau Perhentian, mereka tidak kembali menetap di Teluk Dalam. Apabila kembali semula ke Pulau Perhentian dari Kuala Besut (Negeri Sanyanya), mereka telah membuka satu kawasan penempatan yang baru. Tempatnya ialah Pasir Hantu iaitu penempatan sekarang.

Pada masa dahulu, sebelum ianya dibuka oleh Batin Jamal, tempat ini adalah kawasan yang ditakuti oleh penduduk Pulau Perhentian kerana ianya dikatakan berhantu. Oleh kerana itulah tempat ini dinamakan Pasir Hantu. Mengikut cerita, sebelum ianya dibuka, orang kampung takut mendekati kawasan ini sewaktu mereka memancing di laut. Ini adalah kerana ada semacam orang yang melambai-lambai di tepi pantai, pada hal pada masa itu masih belum ada penghuni lagi di Pulau Perhentian Kecil. Oleh kerana itulah tempat ini dinamakan Pasir Hantu. Setelah ianya dibuka oleh Batin Jamal, masalah itu dikatakan dapat diatasi dan ketakutan penduduk pun hilang.

Sebenarnya, apabila Batin Jamal dan orang-orangnya kembali dari Kuala Besut (Negeri Sanyanya), tidak semua mereka yang kembali itu tinggal di Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil. Ada di antara mereka yang tinggal di Pulau Perhentian Besar tetapi tidak di Teluk Dalam. Ada di antara mereka itu menduduki dan menetap di Seberang Air Keruh, Seberang Mat Daham, Batu Jong dan Teluk Pauh. Semuanya di Pulau Perhentian Besar dan merupakan tempat peranginan dan perkelahan yang menarik pada masa ini.

Selain daripada itu, ada juga yang mendiami Pasir Petani di Pulau Perhentian Kecil. Dari kajian dan cerita yang diperkatakan oleh pencerita, penempatan pada masa dulu adalah berselerah di beberapa tempat di sekitar Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Tetapi penduduk Pulau Perhentian takut untuk kembali ke Teluk Dalam kerana tempat itu dikatakan berhantu dan tidak sesuai untuk didiami.

Penduduk Pulau Perhentian menetap di satu tempat di sekitar awal abad ke 20 iaitu pada zaman pemerintahan Inggeris. Orang yang bertanggungjawab menyatukan dan mengumpulkan semua penduduk Pulau Perhentian di satu kawasan penempatan ialah Batin Talib. Semua penduduk Pulau Perhentian, tidak kira sama ada di Pulau Perhentian Besar atau Pulau Perhentian Kecil menetap di satu penempatan sahaja iaitu di Pasir Hantu iaitu penempatan sekarang. Semenjak semua penduduk Pulau Perhentian menetap di satu penempatan tidak ada lagi penduduk di sini yang tinggal berselerak di merata-rata Pulau Perhentian. Penempatan sekarang di bawah pentadbiran enam orang batin, yang bermula dari Batin Jamal hinggalah batin yang terakhir sekali iaitu Batin Sidek. Sehinggalah sekarang ini, penduduk Pulau Perhentian tinggal di satu tempat dan segala kemudahan asas senang disalurkan kepada semua penduduk.

Pulau Perhentian Semasa Jepun

Semasa Jepun melanggar Tanah Melayu dalam perang dunia kedua iaitu di sekitar 1941 hingga tahun 1945, Pulau Perhentian tidak ketinggalan dari terasa bahangnya. Pulau Perhentian dijadikan pelabuhan tempat persinggahan sementara tentera Jepun untuk menyerang lain-lain tempat di Tanah Melayu dan Asia Tenggara. Kapal-kapal tentera Jepun berlabuh dan berkubu sementara di Pulau Perhentian.

Tentera Jepun bertindak merampas makanan dan ternakan daripada orang-orang kampung. Penduduk menjadi ketakutan, terutama sekali golongan muda. Ini adalah kerana tentera Jepun bertindak cuba menangkap tenaga-tenaga muda ini untuk dijadikan buruh keretapi maut di Burma. Bagi mengelakkan diri dari tertangkap, mereka melarikan diri ke atas bukit dan memasuki hutan Pulau Perhentian. Penduduk kampung yang lari terpaksa bermalam di dalam hutan dan mendapat bekalan makanan daripada golongan tua yang masih tinggal di rumah masing-masing secara sembunyi-sembunyi. Sebenarnya bukan sahaja golongan muda lelaki sahaja yang melarikan diri tetapi juga golongan wanita kerana takut akan kekejaman tentera Jepun.

Kesengsaraan pada zaman Jepun turut dirasakan oleh penduduk Pulau Perhentian sepertimana yang dirasakan oleh penduduk Tanah Besar Semenanjung. Semua ternakan dan makanan yang tidak sempat disembunyikan dirampas oleh tentera Jepun dan sesiapa yang cuba melawan akan diseksa dan dibunuh oleh mereka. Penduduk kampung yang bersembunyi keluar dari tempat persembunyian apabila Jepun mengaku kalah dalam tahun 1945. Setelah Jepun mengaku kalah baharulah orang-orang kampung menjalani kehidupan seperti biasa sama seperti sebelum pendudukan tentera Jepun.

pulau bidong


PULAU BIDONG

Pulau Bidong terletak kira-kira 80km nautika dari Kuala Terengganu. Pulau yang berbukit dengan kawasan landai terlalu kecil ini mempunyai keluasan 300 hektar. Perjalanan bot ke Pulau Bidong dari jeti Merang dengan jarak 35km mengambil masa selama 30 minit.

Pulau Bidong mempunyai pantai yang indah dan bersih. Kejernihan air di sekitar pantainya sehingga dapat melihat pelbagai spesis anak ikan berenang-renang di tepi pantai. Pulau ini juga kaya dengan keindahan batu karang.

Selain kaya dengan sumber ikan yang bermutu, seperti kurau, pulau ini sesuai untuk aktiviti scuba diving.

Persekitaran Pulau Bidong merupakan kawasan tangkapan ikan zon B, terutama bagi nelayan yang menggunakan pukat jerut dan pukat tunda. Kawasan lautnya juga terkenal dengan tangkapan sotong. Semasa cuaca buruk, Pulau Bidong menjadi tempat perlindungan nelayan pantai timur.

Keindahan alam semulajadi dengan hutan daratnya sesuai untuk pelbagai aktiviti rekreasi darat dan laut seperti kembara, perkhemahan, memancing, menyelam, jet ski, dan bersantai.

Pulau Bidong juga terkenal sebagai bekas penempatan pelarian Vietnam. Setiap pelancong yang singgah di pulau ini, akan dapat melihat tinggalan bangunan PHV. Nama Bidong telah menjadi terkenal di seluruh dunia kerana penempatan PHV yang penuh dengan nostalgia.

WAWANCARA DENGAN DATO’ AZIZ @ IBRAHIM AWANG
EXCO KESENIAN, KEBUDAYAAN DAN SUKAN NEGERI TERENGGANU

BIDONG DAN MASA DEPANNYA

Buat masa ini Bidong masih dikekalkan seperti sediakala dan tidak ada pembangunan dijalankan di pulau ini. Konsep pembangunan di Pulau Bidong ialah pelancongan dan kawasan perlindungan perikanan. Berapa permohonan daripada syarikat swasta yang hendak memajukan Pulau Bidong sedang dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri.

Pembangunan pelancongan yang akan dilaksanakan di pulau ini haruslah mengekalkan imej penempatan perlindungan pelarian Vietnam.Kerajaan Negeri juga telah menerima banyak surat daripada orang Vietnam dari Kanada dan Perancis yang ingin datang semula ke Pulau Bidong serbagai pelancong untuk kenangan nostalgia mereka.

Tiga perkara yang perlu diberi perhatian apabila pembangunan dilaksanakan nanti ialah menjaga keindahan alam semulajadi Pulau Bidong supaya tidak tercemar walaupun ada pelancongan. Keduanya menggunakan peninggalan pelarian itu sebagai satu aset untuk tarikan pelancongan. Ketiga, perlindungan untuk nelayan pada musim tengkujuh. Berdasarkan tiga faktor ini, Kerajaan Negeri tidak berminat untuk mengadakan projek pelancongan yang besar seperti membina hotel kerana terkeluar daripada konsep asalnya. Beberapa bangunan di Pulau Bidong akan dikekalkan. Pembangunannya adalah sederhana.

Malah nelayan tempatan telah mendesak supaya Pulau Bidong dijadikan sebagai tempat perlindungan mereka. Itu pun kerajaan perlulah memberi perhatian.

Buat masa ini pelancong hanya datang dan lihat kesan peninggalan mereka dan tidak boleh bermalam. RELA yang ditempatkan di Pulau Duyong adalah untuk menjaga keselamatan supaya orang ramai tidak merosakkan peninggalan haram Vietnam (PHV). Tambahan pula, terdapat beratus-ratus perigi buta yang digali oleh PHV untuk mendapatkan air. Malah, ada yang mempercayai bahawa perigi buta ialah tempat simpan harta seperti emas PHV. Selain itu, terdapat banyak ular dan tikus di pulau ini. Sewaktu penempatan PHV, mereka membela ular sebagai makanan dan apabila ditinggalkan jumlah binatang itu semakin membiak.

Peruntukan khusus untuk Pulau Bidong buat masa ini tidak ada. Kemungkinan tidak lama lagi kerajaan akan mendapatkan peruntukan untuk pembangunan Pulau Bidong. Dua cara pembangunan pembangunan untuk Pulau Bidong, iaitu menswastakan kepada syarikat dengan syarat mengekalkan bangunan yang ada. Rumah dan bangunan pejabat boleh diubah suai menjadi chalet ataupun membina chalet baru dengan syarat tidak menjejaskan bangunan yang ada. Kedua, mengekalkan peninggalan Vietnam sebagai satu muzium.

bukit puteri


Peninggalan Sejarah

Negeri Terengganu Darul-Iman adalah antara negeri-negeri di Malaysia yang memiliki kisah-kisah sejarah yang menarik. Menurut sejarawan, Negeri Terengganu telah dibuka sebelum munculnya Negeri Melaka. Antara kisah-kisah sejarah yang termasyhur di negeri ini ialah kisah Batu Bersurat di Kuala Berang, sejarah Hj. Abd. Rahman
Satu Limbong, Bukit Puteri dan lain-lain lagi. Namun terdapat satu peninggalan sejarah yang dianggap begitu menarik di negeri ini. Sejarah yang dimaksudkan itu ialah Bukit Puteri yang terletak di pinggir kota Darul-Iman.

Kesan-kesan peninggalannya jelas dapat dilihat hingga sekarang. Bukit Puteri mungkin menjadi masyhur jika cerita atau kajian mengenainya diberikan publisiti yang lebih meluas. Lokasinya yang terletak di dalam kesibukan bandar menjadikan Bukit Puteri tampak hebat jika dibandingkan dengan tempat lain hinggakan bagi sesetengah pencinta sejarah, mereka berpendapat Bukit Puteri adalah lambang sejarah negeri. Bukit yang tingginya lebih kurang 200 meter ini letaknya berhampiran dengan Istana Maziah ( iaitu sebuah istana yang dibina bagi menggantikan Istana Hijau di kaki bukit yang telah terbakar pada tahun 1882 ). Luas kawasan bukit ini dianggarkan kira-kira 0.688 hektar. Kajian sejarah menunjukkan bahawa Bukit Puteri ini sudah dikenali sebelum pemerintahan Sultan Zainal Abidin 1.

Puteri Bunian

Terdapat pula berbagai-bagai cerita dan kisah menarik mengenai asal-usul nama Bukit Puteri ini. Ada cerita mengatakan Datok Bendahara Padang Saujana Johor telah menghantar wakilnya iaitu Megat Seri Rama untuk memerintah Terengganu pada kurun ke-17. Namun pada masa itu bukit ini sudah dikenali sebagai Bukit Puteri. Kisah yang lain pula menyatakan bahawa Bukit Puteri berasal dari nama Tuk Raja Menteri dari Johor yang datang ke Terengganu dan membuka bukit ini. Tetapi kisah yang paling menarik, didapati daripada cerita penduduk-penduduk kampung disitu. Kebanyakan cerita mengatakan bahawa pada zaman dahulu bukit ini menjadi kediaman bagi Puteri Bunian.

Penduduk kampung ketika itu selalu datang berjumpa Tuan Puteri untuk meminjam pinggan mangkuk bagi mengadakan majlis nikah-kahwin atau majlis keramaian yang lain. Malangnya ada di antara mereka yang tidak memulangkannya kembali dan ada yang pecah pula tidak diganti. Oleh kerana sikap penduduk-penduduk yang tidak amanah itu, Tuan Puteri telah merajuk dan lari ke Bukit Bintang di Daerah Besut
, rupa-rupanya telah mencetuskan satu perang saudara antara pihak Tengku Mansur dan Tengku Umar.

Tengku Umar telah mengambil kesempatan menggunakan Bukit Puteri sebagai benteng pertahanan dari serangan Tengku Mansur yang berkubu di kawasan Balik Bukit. Namun begitu akhirnya Tengku Umar terpaksa mengalah dan meninggalkan Bukit Puteri. Mengikut catatan sejarah, Tengku Umar telah melarikan diri ke Besut kemudian ke Daik.

Tengku Mansur yang bergelar Sultan Mansur Shah terus berkuasa semula dan memerintah takhta kerajaan Negeri Terengganu. Setelah kemangkatan Sultan Mansur Shah 11, Sultan Muhammad 1 telah dilantik menggantikan beliau. Dalam masa yang sama Tengku Umar yang melarikan diri ke Daik pulang ke Terengganu merampas takhta kerajaan negeri Terengganu dan orang-orangnya telah menyerang Bukit Puteri yang ketika itu menjadi tempat bersemayam Sultan Muhammad 1. Di sini berlakunya pertempuran hebat antara kedua belah pihak. Setelah pertempuran sengit berlaku, kekalahan berpihak kepada Sultan Muhammad 1. Lalu beliau terpaksa berundur ke Dungun. Dan giliran Tengku Umar pula yang menguasai Bukit Puteri.

Sultan Muhammad 1 yang disingkirkan tidak berputus asa meminta pertolongan Tengku Hitam bagi menewaskan Tengku Umar. Beberapa bulan kemudian, gandingan Sultan Muhammad 1 dan Tengku Hitam dari Dungun cuba untuk menyerang Tengku Umar yang berkubu di Bukit Puteri dalam usaha merampas kembali takhta kerajaan. Malang cubaan mereka gagal.


Kubu Dari Madu

Adalah dipercayai bahawa kubu yang dibina oleh Baginda Umar ini diperbuat daripada batu-bata, madu dan kapur. Dari rentetan sejarah ini, jelas menunjukkan bahawa Bukit Puteri amat penting satu ketika dahulu sebagai kubu pertahanan yang kuat. Ini adalah mungkin disebabkan kedudukan fizikalnya yang begitu strategik yang menyukarkan pihak musuh menyerang. Kesan peninggalan kubu itu masih dapat dilihat dengan jelas hingga ke hari ini.
Apa yang menarik perhatian dalam kawasan kubu ini ialah terdapat beberapa monumen dan artifek bersejarah. Antaranya ialah Rumah Api. Rumah Api ini tingginya lebih kurang 10 meter. Terletak di penjuru kawasan kubu dan boleh dilihat dengan jelas dari muara Sungai Terengganu.
Memandangkan penduduk-penduduk Terengganu ketika itu kebanyakkannya adalah nelayan, maka Rumah Api ini amatlah penting, bagi mereka lebih-lebih lagi untuk menentukan arah kepala muara Sungai Terengganu. Begitu juga bagi para pelayar yang sentiasa berulang alik berdagang ke serata Nusantara dengan perahu-perahu besar. Ini adalah kerana pada masa dahulu kegiatan perdagangan begitu pesat sekali.
Satu lagi bahan bersejarah yang penting, terletak di dalam kubu ini ialah tiang bendera. Tiang bendera ini mempunyai bentuk yang agak menarik dan canggih walaupun didirikan pada zaman lampau. Ianya tidak merupakan sebatang tiang semata-mata, tetapi mempunyai palang kayu di tengah-tengahnya sepanjang 5 meter.
Kegunaan utama tiang bendera ini adalah untuk menaikkan bendera raja apabila satu-satu istiadat kebesaran diadakan. Misalnya apabila diadakan istiadat pertabalan.
Mengikut fakta sejarah yang tercatat, tiang bendera ini telah didirikan dengan penuh istiadat kebesaran negeri dituruti dengan tembakan meriam sebanyak 16 das, semasa upacara menanam tiang dilakukan. Tingginya lebih kurang 18 meter dan ditanam sedalam 2 meter.
Hari yang penuh bersejarah itu telah dicatat bertarikh 22 April 1899 Masehi bersamaan 12 Zulhijjah 1319 Hijra iaitu ketika zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin Ketiga. Namun begitu tiang bendera yang tersergam sekarang ini telah didirikan pada masa pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah.
Berhampiran tiang bendera ini juga terdapat satu runtuhan pentas batu yang dipercayai digunakan sebagai singgahsana oleh pemerintah-pemerintah dahulu. Bersebelahan pentas batu ini terdapat pula sebuah lubang sebesar 1 meter persegi. Lubang ini dikatakan sebagai tempat menyimpan peluru meriam semasa perang dahulu.

Seri Bueh

Lain pula ceritanya jika dikaitkan dengan lagenda Tuan Puteri di atas bukit ini. Mengikut cerita adalah dipercayai bahawa lubang ini adalah tempat Tuan Puteri menyimpan pinggan mangkuknya.Di gunakan untuk melawan pihak musuh. Disamping itu ia juga digunakan sebagai isyarat bagi istiadat-istiadat kebesaran negeri. Sebenarnya banyak lagi meriam yang terdapat di atas bukit ini.
Meriam-meriam ini terdiri daripada pelbagai jenis. Ada yang buatannya dari Negara Sepanyol dan Portugis. Tidak ketinggalan juga meriam buatan dari Tanah Melayu. Meriam-meriam ini diberikan nama yang berlainan seperti Seri Johor, Seri Bueh, Seri Jamior dan Laila Majnun. Tetapi, apa yang menarik perhatian mengenai meriam-meriam ini ialah tentang 'Seri Bueh'.
Sebenarnya Seri Bueh lebih dikenali dengan panggilan Meriam Beranak. Ini adalah kerana kedudukan meriam ini yang seolah-olah mempunyai hubungan, di mana terdapat sepucuk meriam besar yang menjadi 'ibu' kepada sepucuk meriam kecil disisinya. Oleh kerana saiz dan keadaan kedua-dua pucuk meriam ini lebih mirip kepada 'ibu dan anak' maka dengan itu ianya lebih termasyhur dengan panggilan Meriam Beranak.
Namun begitu ramai yang tidak menyedari bahawa dalam tahun 1941 hingga 1945, terjadi satu peristiwa yang hampir melenyapkan sejarah meriam-meriam ini. Pada waktu itu Tanah Melayu dikuasai oleh tentera-tentera Jepun, termasuk bandar Kuala Terengganu. Tentera-tentera Jepun, ketika itu telah banyak memindahkan meriam-meriam yang berada di atas Bukit Puteri ini untuk dihadiahkan kepada Kerajaan Siam pada masa itu amat berminat untuk menjadikan meriam-meriam ini sebagai harta rampasan perang.
Namun begitu generasi hari ini amat bernasib baik kerana usaha-usaha itu telah menemui kegagalan. Ternyata jika usaha-usaha tentera Jepun itu berhasil, hilanglah satu bahan bersejarah yang menjadi simbol kekuatan kubu pertahanan Bukit Puteri pada hari ini.