Monday, January 18, 2010

bukit puteri


Peninggalan Sejarah

Negeri Terengganu Darul-Iman adalah antara negeri-negeri di Malaysia yang memiliki kisah-kisah sejarah yang menarik. Menurut sejarawan, Negeri Terengganu telah dibuka sebelum munculnya Negeri Melaka. Antara kisah-kisah sejarah yang termasyhur di negeri ini ialah kisah Batu Bersurat di Kuala Berang, sejarah Hj. Abd. Rahman
Satu Limbong, Bukit Puteri dan lain-lain lagi. Namun terdapat satu peninggalan sejarah yang dianggap begitu menarik di negeri ini. Sejarah yang dimaksudkan itu ialah Bukit Puteri yang terletak di pinggir kota Darul-Iman.

Kesan-kesan peninggalannya jelas dapat dilihat hingga sekarang. Bukit Puteri mungkin menjadi masyhur jika cerita atau kajian mengenainya diberikan publisiti yang lebih meluas. Lokasinya yang terletak di dalam kesibukan bandar menjadikan Bukit Puteri tampak hebat jika dibandingkan dengan tempat lain hinggakan bagi sesetengah pencinta sejarah, mereka berpendapat Bukit Puteri adalah lambang sejarah negeri. Bukit yang tingginya lebih kurang 200 meter ini letaknya berhampiran dengan Istana Maziah ( iaitu sebuah istana yang dibina bagi menggantikan Istana Hijau di kaki bukit yang telah terbakar pada tahun 1882 ). Luas kawasan bukit ini dianggarkan kira-kira 0.688 hektar. Kajian sejarah menunjukkan bahawa Bukit Puteri ini sudah dikenali sebelum pemerintahan Sultan Zainal Abidin 1.

Puteri Bunian

Terdapat pula berbagai-bagai cerita dan kisah menarik mengenai asal-usul nama Bukit Puteri ini. Ada cerita mengatakan Datok Bendahara Padang Saujana Johor telah menghantar wakilnya iaitu Megat Seri Rama untuk memerintah Terengganu pada kurun ke-17. Namun pada masa itu bukit ini sudah dikenali sebagai Bukit Puteri. Kisah yang lain pula menyatakan bahawa Bukit Puteri berasal dari nama Tuk Raja Menteri dari Johor yang datang ke Terengganu dan membuka bukit ini. Tetapi kisah yang paling menarik, didapati daripada cerita penduduk-penduduk kampung disitu. Kebanyakan cerita mengatakan bahawa pada zaman dahulu bukit ini menjadi kediaman bagi Puteri Bunian.

Penduduk kampung ketika itu selalu datang berjumpa Tuan Puteri untuk meminjam pinggan mangkuk bagi mengadakan majlis nikah-kahwin atau majlis keramaian yang lain. Malangnya ada di antara mereka yang tidak memulangkannya kembali dan ada yang pecah pula tidak diganti. Oleh kerana sikap penduduk-penduduk yang tidak amanah itu, Tuan Puteri telah merajuk dan lari ke Bukit Bintang di Daerah Besut
, rupa-rupanya telah mencetuskan satu perang saudara antara pihak Tengku Mansur dan Tengku Umar.

Tengku Umar telah mengambil kesempatan menggunakan Bukit Puteri sebagai benteng pertahanan dari serangan Tengku Mansur yang berkubu di kawasan Balik Bukit. Namun begitu akhirnya Tengku Umar terpaksa mengalah dan meninggalkan Bukit Puteri. Mengikut catatan sejarah, Tengku Umar telah melarikan diri ke Besut kemudian ke Daik.

Tengku Mansur yang bergelar Sultan Mansur Shah terus berkuasa semula dan memerintah takhta kerajaan Negeri Terengganu. Setelah kemangkatan Sultan Mansur Shah 11, Sultan Muhammad 1 telah dilantik menggantikan beliau. Dalam masa yang sama Tengku Umar yang melarikan diri ke Daik pulang ke Terengganu merampas takhta kerajaan negeri Terengganu dan orang-orangnya telah menyerang Bukit Puteri yang ketika itu menjadi tempat bersemayam Sultan Muhammad 1. Di sini berlakunya pertempuran hebat antara kedua belah pihak. Setelah pertempuran sengit berlaku, kekalahan berpihak kepada Sultan Muhammad 1. Lalu beliau terpaksa berundur ke Dungun. Dan giliran Tengku Umar pula yang menguasai Bukit Puteri.

Sultan Muhammad 1 yang disingkirkan tidak berputus asa meminta pertolongan Tengku Hitam bagi menewaskan Tengku Umar. Beberapa bulan kemudian, gandingan Sultan Muhammad 1 dan Tengku Hitam dari Dungun cuba untuk menyerang Tengku Umar yang berkubu di Bukit Puteri dalam usaha merampas kembali takhta kerajaan. Malang cubaan mereka gagal.


Kubu Dari Madu

Adalah dipercayai bahawa kubu yang dibina oleh Baginda Umar ini diperbuat daripada batu-bata, madu dan kapur. Dari rentetan sejarah ini, jelas menunjukkan bahawa Bukit Puteri amat penting satu ketika dahulu sebagai kubu pertahanan yang kuat. Ini adalah mungkin disebabkan kedudukan fizikalnya yang begitu strategik yang menyukarkan pihak musuh menyerang. Kesan peninggalan kubu itu masih dapat dilihat dengan jelas hingga ke hari ini.
Apa yang menarik perhatian dalam kawasan kubu ini ialah terdapat beberapa monumen dan artifek bersejarah. Antaranya ialah Rumah Api. Rumah Api ini tingginya lebih kurang 10 meter. Terletak di penjuru kawasan kubu dan boleh dilihat dengan jelas dari muara Sungai Terengganu.
Memandangkan penduduk-penduduk Terengganu ketika itu kebanyakkannya adalah nelayan, maka Rumah Api ini amatlah penting, bagi mereka lebih-lebih lagi untuk menentukan arah kepala muara Sungai Terengganu. Begitu juga bagi para pelayar yang sentiasa berulang alik berdagang ke serata Nusantara dengan perahu-perahu besar. Ini adalah kerana pada masa dahulu kegiatan perdagangan begitu pesat sekali.
Satu lagi bahan bersejarah yang penting, terletak di dalam kubu ini ialah tiang bendera. Tiang bendera ini mempunyai bentuk yang agak menarik dan canggih walaupun didirikan pada zaman lampau. Ianya tidak merupakan sebatang tiang semata-mata, tetapi mempunyai palang kayu di tengah-tengahnya sepanjang 5 meter.
Kegunaan utama tiang bendera ini adalah untuk menaikkan bendera raja apabila satu-satu istiadat kebesaran diadakan. Misalnya apabila diadakan istiadat pertabalan.
Mengikut fakta sejarah yang tercatat, tiang bendera ini telah didirikan dengan penuh istiadat kebesaran negeri dituruti dengan tembakan meriam sebanyak 16 das, semasa upacara menanam tiang dilakukan. Tingginya lebih kurang 18 meter dan ditanam sedalam 2 meter.
Hari yang penuh bersejarah itu telah dicatat bertarikh 22 April 1899 Masehi bersamaan 12 Zulhijjah 1319 Hijra iaitu ketika zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin Ketiga. Namun begitu tiang bendera yang tersergam sekarang ini telah didirikan pada masa pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah.
Berhampiran tiang bendera ini juga terdapat satu runtuhan pentas batu yang dipercayai digunakan sebagai singgahsana oleh pemerintah-pemerintah dahulu. Bersebelahan pentas batu ini terdapat pula sebuah lubang sebesar 1 meter persegi. Lubang ini dikatakan sebagai tempat menyimpan peluru meriam semasa perang dahulu.

Seri Bueh

Lain pula ceritanya jika dikaitkan dengan lagenda Tuan Puteri di atas bukit ini. Mengikut cerita adalah dipercayai bahawa lubang ini adalah tempat Tuan Puteri menyimpan pinggan mangkuknya.Di gunakan untuk melawan pihak musuh. Disamping itu ia juga digunakan sebagai isyarat bagi istiadat-istiadat kebesaran negeri. Sebenarnya banyak lagi meriam yang terdapat di atas bukit ini.
Meriam-meriam ini terdiri daripada pelbagai jenis. Ada yang buatannya dari Negara Sepanyol dan Portugis. Tidak ketinggalan juga meriam buatan dari Tanah Melayu. Meriam-meriam ini diberikan nama yang berlainan seperti Seri Johor, Seri Bueh, Seri Jamior dan Laila Majnun. Tetapi, apa yang menarik perhatian mengenai meriam-meriam ini ialah tentang 'Seri Bueh'.
Sebenarnya Seri Bueh lebih dikenali dengan panggilan Meriam Beranak. Ini adalah kerana kedudukan meriam ini yang seolah-olah mempunyai hubungan, di mana terdapat sepucuk meriam besar yang menjadi 'ibu' kepada sepucuk meriam kecil disisinya. Oleh kerana saiz dan keadaan kedua-dua pucuk meriam ini lebih mirip kepada 'ibu dan anak' maka dengan itu ianya lebih termasyhur dengan panggilan Meriam Beranak.
Namun begitu ramai yang tidak menyedari bahawa dalam tahun 1941 hingga 1945, terjadi satu peristiwa yang hampir melenyapkan sejarah meriam-meriam ini. Pada waktu itu Tanah Melayu dikuasai oleh tentera-tentera Jepun, termasuk bandar Kuala Terengganu. Tentera-tentera Jepun, ketika itu telah banyak memindahkan meriam-meriam yang berada di atas Bukit Puteri ini untuk dihadiahkan kepada Kerajaan Siam pada masa itu amat berminat untuk menjadikan meriam-meriam ini sebagai harta rampasan perang.
Namun begitu generasi hari ini amat bernasib baik kerana usaha-usaha itu telah menemui kegagalan. Ternyata jika usaha-usaha tentera Jepun itu berhasil, hilanglah satu bahan bersejarah yang menjadi simbol kekuatan kubu pertahanan Bukit Puteri pada hari ini.

0 comments: